Friday, 5 September 2014

Pengalaman Memasang Cerclage dan Kesan Bius Yang Menyakitkan

“Terserah pada awak sama ada hendak melakukan cervical cerclage sekali lagi atau tidak” 

Ini kata-kata doctor dari Klinik Pakar O&G Kota Bharu semasa kunjungan pertama saya ke sana. Ini kerana mengikut sejarah kandungan yang sebelum ini pun serviks saya telah diikat untuk mengelakkan sekali lagi kelahiran pramatang.

Sebenarnya bila doktor cakap camtu, hati terus jadi ragu-ragu. Kenapa pula terserah pada saya sendiri? Diagnosenya bagaimana? Tapi takpelah.. 

Keputusan dibuat dan saya bersetuju untuk melakukan cervical cerclage sekali lagi. Lagi pun apa pilihan yang saya ada? Sewaktu bertanya pada doctor berkenaan pun tiada jawapan yang diberi. Pasrah dan redha, 16 Julai 2014 saya dimasukkan ke wad untuk proses cerclage sewaktu usia kandungan mencecah 15 minggu.


Imej menunjukkan keadaan serviks yang terbuka dan gambaran setelah ia diikat


17 Julai 2014, seawal pagi saya berdebar-debar. Walaupun telah ada pengalaman kali pertama dahulu tetapi perasaan takut tetap ada. Saya ditolak ke bilik bedah diiringi suami, aboh, mama dan hero pramatang saya, Ahmad Akram. Mulut tidak berhenti zikir Nabi Nuh A.S. Sejuk kaki tangan saya.




Berada di atas katil untuk proses bius, doktor memberi sedikit penerangan bahawa bius separuh badan (epidural) akan diberikan pada saya. Pada masa itu sudah sedikit keliru dirasakan kerana consent form yang ditandatangani sehari sebelum adalah untuk bius seluruh badan. (Bius yang sama seperti melakukan cervical cerclage Aamily). Kata doktor bius separuh badan supaya tidak atau kurang kesan kepada bayi di dalam kandungan. Saya angguk pasrah.

Dalam keadaan membongkok, 2 kali saya disuntik di tulang belakang. Sakitnya hanya Allah yang tahu . Saya ketap bibir semasa disuntik. Demi seorang anak, demi satu nyawa lagi mama sanggup bertahan sayang. Setitik air mata jatuh menahan kesakitan dibius..

Sepanjang pembedahan kecil ini saya sedar sepenuhnya. Walaupun tidak dapat melihat secara jelas apa yang dilakukan saya tetap tidak boleh menutup mata. 10 minit seperti berjam-jam. Kaki langsung tidak dapat digerakkan kerana kesan bius. Selesai ‘diikat’ saya ditolak ke tepi untuk dimonitor sebelum ditolak ke wad.

Lebih kurang 10 minit kemudian saya sesak nafas. Dada terasa sesak. Air mata mengalir tanpa henti. Dengan pinggang ke bawah yang masih tidak boleh digerakkan, saya lemas! Para doktor berlari mendapatkan dan mengelilingi saya. BP turun mendadak! Mesin bantuan pernafasan dan oksigen diberikan. Berlingkar segala wayar dipasang di badan ketika itu. Pada masa itu saya hanya ingat mati..Allahurabbi..

Tidak tahu berapa lama keadaan sesak nafas itu terjadi. Tetapi yang saya tahu 2 botol air dimasukkan ke badan dari saat selesai pembedahan sampai tekanan darah saya stabil. Alhamdulillah. Akhirnya saya ditolak ke wad untuk proses berehat. Tidak boleh bergerak (semestinya kerana kesan epidural) selama 6 jam, tiada bantal dibenarkan dan tiada makan minum sepanjang tempoh itu. Saya lelapkan mata sepanjang masa tersebut.

Tersedar lebih kurang pukul 5 petang, saya sedikit gelisah. Saya cuba lelapkan kembali mata. Pukul 6 lebih tersedar lagi dan kali ini air mata yang mengiringi kerana saya rasa sangat sakit di bahagian pinggang. Masih langsung tidak boleh bergerak. 

Bila diberitahu kepada jururawat katanya mungkin kesan bius sudah habis dan saya baru terasa sakit. Sepatutnya saya sudah boleh ke tandas dan bangun tetapi pinggang saya langsung tidak dapat bergerak! Saya cuba angkat kepala dan sakitnya menjalar sampai ke pinggang. Allah..Apa yang tidak kena ni?

Sepanjang malam saya kesakitan. Saya hanya makan sesudu dua nasi malam itu untuk mengalas perut. Air masih dimasukkan bersama tiub untuk kencing. Adakah saya sudah lumpuh separuh badan? Tidak pasti pukul berapa drip air saya dihentikan kerana saya kesakitan sepanjang malam.

Pagi esoknya saya masih tidak boleh bergerak. Sewaktu lawatan doktor pakar saya hanya mampu menangis. No movement at all! 

Saya masih ingat marahnya doktor pakar kerana kesakitan saya dipandang enteng sedangkan untuk mengangkat kepala pun saya tak mampu, apatah lagi untuk mengiring. 

Serta merta water drip dipasang kembali, bersama suntikan nubain untuk penahan sakit. Jururawat datang untuk suntikan tetapi terpaksa memanggil seorang lagi kawannya kerana saya bagai sudah lumpuh. 

Sedih dan rasa sangat tidak bermaya ketika itu. Hanya untuk mengiringkan badan untuk disuntik memerlukan 2 jururawat untuk membantu. Betapa ketika itu saya rasa hilang segala-galanya. 

Saya disuntik setiap 6 jam sekali selama 2 hari berturut-turut. Dengan 2 jururawat setiap kali suntikan. 

Tiub kencing dibuang pada hari kedua. Akibatnya saya menghadapi kesukaran yang bukan sedikit untuk membuang air kecil. Dengan bantuan suami dan menggunakan wheel chair saya ke tandas, menahan sakit yang bukan kepalang apabila suami terpaksa memangku semasa meletakkan saya di kerusi roda. Selepas ke tandas saya terus terbaring tidak boleh bergerak. Pinggang seperti hendak patah. 

Hari ke-3 selepas pembedahan saya masih tidak boleh bergerak. Doktor pakar O&G terpaksa memanggil pakar bius untuk memeriksa apa yang tidak kena. Kata pakar bius ini kes yang sangat jarang berlaku, sekiranya sakit saya berterusan mereka terpaksa memanggil Pakar Ortophedik (tulang). Apa daya saya ketika itu.. Tidak tahu apa yang tidak kena. Ubat ditambah oleh pakar bius. 

Dalam keadaan sakit, saya teringat dengan suplemen yang memang saya bawa daripada awal tetapi apabila kesakitan melampau saya terlupa segalanya. Saya telan B Complex untuk saraf dan Ostematrix untuk tulang. Ikhtiar Jazilah, ikhtiar. Alhamdulillah keadaan beransur pulih pada petangnya. Dan saya teruskan dengan Set Suplemen Ibu Hamil seperti biasa. Sangat membantu mempercepatkan proses penyembuhan ini.

Hari ke-4 kesakitan beransur kurang. Saya beranikan diri ke tandas dengan berjalan kaki. Tetapi rasanya seperti ada beban di pinggang. Balik dari tandas terpaksa berbaring tanpa sebarang gerakan. Kesan sakit masih bersisa walaupun sudah berkurangan. 

Hari ini sekali lagi pakar-pakar bius datang berjemaah, melihat saya sudah boleh tersenyum melegakan mereka, agaknya. Kata mereka, ini kesan bius yang jarang berlaku, ditakdirkan terkena pada saya. Apa boleh buat kan? Takdir Dia menentukan segalanya. 

Habis cerita sakit pinggang, perut pula asyik mengeras. Akibatnya saya masih tidak boleh pulang. Allah.. Janganlah anak kecil ini keluar lagi, itu doa saya. Bersabar sayang, masa awak belum sampai untuk melihat dunia. Contraction selang sejam.. Risaunya hati Allah sahaja yang tahu. Nubain disuntik lagi untuk mengelakkan kontraksi dan supaya saya rehat.

Malamnya sewaktu ke tandas saya terasa satu ketulan seperti mahu keluar. Hilang segala rasa nak membuang, kerana risau saya beritahu jururawat. Saya disuruh bedrest.Tengah malam saya ke tandas lagi sekali dan akhirnya ketulan sebesar 2 jari keluar. Betul-betul kenyal dan berketul. Saya bawa ke jururawat, kecoh sekejap kerana masing-masing tidak pasti apa yang keluar. Ketulan diberi pada doktor, saya disuruh rehat dan disuntik lagi.

Esoknya doktor memaklumkan ia adalah ketulan darah beku. Sedikit cuak tapi saya kuatkan semangat. Ditahan lagi untuk dimonitor. Suntikan diberi secara berkala. Peha terasa kebas kesan suntikan yang banyak. Kadang ketika jururawat datang untuk suntikan saya menolak. Tidak mahu terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit yang satu ini.

Pagi ke-7, sewaktu lawatan doktor pakar saya minta izin untuk balik. Rasanya saya sudah sedikit okay dan hanya perlu berehat di rumah. Alhamdulillah dbenarkan pulang dengan bekalan pesanan itu dan ini. Sekiranya keluar darah, keluar lendir yang banyak atau sakit perut yang kerap saya dinasihatkan untuk terus ke hospital. 

Proses memasang cerclage itu tidak menyakitkan, tetapi kesan sampingan bius itu menakutkan.



Jazilah Ilyas
Whatsapp / SMS : +6016-992 7392
Shaklee ID : 1070931
























































Share:

0 comments:

Post a Comment

Saya Jazilah

Bonjour & Welcome

Seorang ibu yang menyokong penuh penyusuan susu ibu. Seorang wanita yang didiagnos cervical incompetence. Seorang wanita yang inginkan kebebasan kewangan, berdikari dan berkarisma.

Follow Jazilah

Kehamilan

Produk Shaklee

Beli sekarang

Google+ Followers

Paling digemari